Friday, December 24, 2010

sajak

     Kamar itu

kamar itu
mencuri tumpuan
menjejak , mengintai
dari tirai keraguan

kamar itu
menterjemah NUR
membersih noda
mencatat kemuliaan
mencelik kebutaan

kamar itu
diintip setiap penjuru
dipersoal setiap laku
menterjemah setiap cerita
menghurai setiap tersurat
memperinci setiap tersirat

kamar itu
menjadi saksi
bisu tuli mampu bicara suci
merakam setiap peristiwa
melukis setiap kata
melakar setiap riak feel
menulis setiap senyum tangis
mengulas setiap ulas bicara

kamar itu
kini bersaksi
insan mulia bertafakur sendiri
menadah memohon keredaan
dalam kesayuan mengharap saat itu
disambar mulia saat sakaratulmaut
dinanti penuh cinta
mengharap penuh kudus
esok pasti tiba
mati tiada dusta

kamar itu
pasti bersaksi nyata

Ad6 07





Pahlawan malam


Haiyya allai solah
Haiyya alllai solah
Haiyya allai falah
Haiyya allai falah
Assolah tuhairum minallnaum
Assolah tuhairum minallnaum

dalam kedinginan sepertiga malam
berdiri insan dalam kegelapan
menampak gagah ke rumah ALLAH
longlai penuh teratur
mencari erti hidup hakiki
menepuh kabus mengusap muka
dalam hidup pasrah sudah

di sudut itu
insan takwa penuh kudus
bibir bergerak pujiaan dialun
dalam kedinginan penuh kesyaduaan
membelah langit ketujuh
suara bidadari menyambut riang
memulia insan sedia terindah
merenung diri dalam kefanaan
mencari impian dalam keinsafan

di sudut itu
insan bertafakur penuh kudus
mengadah tangan pohon keampunan
segala dosa disuci rahmat
airmata keinsafan mengalir murni
membilang dosa kesal tak sudah
mengharap RAHMAN serta RAHIMMU

di sudut itu
insan yang tiada kepenatan
solat ditunai penuh kudus
menyerah diri pada yang ESA
membilang baki hari
destinasi belum pasti
mengharap ILLAHI rahmat diberi

di sudut itu
insan bangkit dengan kemenangan
menewaskan tipu daya syaitan
syaitan menjerit kegagalan
tewas ditangan pahlawan malam
syaitan terbelenggu terlempar mudah

di sudut itu
insan mengatur langkah penuh gagah
genggaman tangan penuh megah
melangkah gagah penuh tawadduk
hidup terindah dalm rahmat
insan terus tegar gagah
lewat waktu tiada goyah
menanti tiba saat waktu
menunggu kekasih tiada sabar

pahlawan itu tetap gagah


Ad6 07

Monday, November 29, 2010

sajak

    Al-Sesat

Tik ! Tik ! Tik !
tiada noktah bagimu
berjalan atas kitab yang satu
tiada kelewatan atau kecepatan bagimu
menurut laku sejak dahulu
patuh bererti turut selalu

namun
manusia terleka
menari mencari kebenaran
terpalit kepalsuan dalam dusta

rahmat dipinta bala menimpa
syaitan dipuja raja semesta
syariah dilanggar adat dipuja
tauhid disanggah maruah terjaja
guru dimulia raja segala

kata diucap bangkit menyembah
jalan diatur rafak menyembah
betina diserah kata barakah
dosa pahala tiada kesah
harta benda sedia diserah
menjadi bekal menambah susah

itu kata guru serakah
nafsu menjajah
matlamat serakah

Ad6  07

sajak

     Salam Kemanusiaan

Senja
merangkak hiba
Meninggal detik waktu yang pasti tidak diketemukan lagi
Sedangkan di sini insan bernama manusia
Bisa angkuh berdiri megah menari tarian songsang
Mendabik dada melawan arus
Meneriak jaguhan dalam kehinaan

Malam
Mendatangkan kegelapan jua sinar keemasan
Membuat pilihan jauh tersasar
Segala keindahan nafsu dituruti penuh rela
Noda dan dosa dianggap kemenangan
Dalam kenangan silam yang penuh kesilapan
Entah bila sinar keinsafan menjelma

Dalam kegilaan nafsu serakah
Bertopeng manusia berjiwa syaitan
Segala kudis, nanah dan darah
Disantap penuh lahap
Mengidam segala kemaksiatan tanpa batasan

Dalam diri manusia sebegini
Memungkinkan
Melahir generasi yang pincang
Pincang setiap aturan hidup
Langkah melangkahi kebenaran
Tanpa ada rasa erti kemanusiaan
Kerana hidup berpaksikan
Akal fikir!
Kuasa tenaga!
Mata melihat!
Telinga mendengar!
Kaki melangkah!
Hanya berkiblatkan nafsu serakah

Segala larangan
Adat budaya!
Aturan agama!
Dipersetankan

INGATlah
Masa berlalu terus berlalu
Meninggalkan detik waktu tanpa penyesalan
Noktah kehidupan tidak berpesan
Ajal tiba tidak dipelawa
Hanya kain putih peneman jasad
Dosa dan nesta pembakar azab
Penyesalan dibawa tiada ertinya

Teman
Hiduplah dengan
Tali ALLAH
Melangkah di bawah RAHMAN dan RAHIMNYA
Hidupmu pasti dan matimu pasti


AD6 2010






Pahlawan malam 2

Sepertiga malam
Dipenjuru itu terlihat
Sang hamba tersipuh hina
Merantap menangis hiba
Menadah tangan memohon RAHIMMU
Ketulusan malam mendinginkan jiwa
Kian terpilu dalam keseduan
Memohon bukan keperluan
Namun mengharap diri
Menghadap Sang Pencipta penuh kudus
Dalam bicara yang fana
Pahlawan malam terus berdiri
Dengan diri pasrah
Kerna diri
Sang hamba

AD6 2010


Catatan Kehidupan

Tika dunia dalam kesunyian
aku betarung dalam kegelapan
memecah, menerjah segala
demi kerana
ketentuan ilahi
saat itu,
aku alunkan suara
jeritan
tanda
selamat aku di bumi bertuah ini
dunia penuh onak ! duri
aku dibelai penuh keimanan
aku pewaris

hidupku
penuhi berlari ! ketawa
berjalan ! menangis
kerana itu duniaku
tika tujuh tahun menjangkau usia
aku kenal erti tulis baca
mencari makna dunia ini
membatas ruang penjudian hidup
kerana
nekad telah berubah
UPSR pengasas hidup
keputusan digenggam
tangisan hati kepiluan
namun
ibuku
suaramu tetap merdu
mendodoi sayang tingkah dan laku

aku melangkah
menunduk penuh buku
mencabar setiap ruang waktu
mencipta cemerlang
15 tahun usia menjejak
SRP diduduki penuh megah
kejayaan dicapai dalam resah
impian dicipta tidak semegah
gembira dalam resah
hidup meniti penuh teliti
bara dititi kian membara
hidup digalas makin terasa
penentu hidup kian mendesak

SPM menjelang tiba
sinar mentari kembali memerah
membakar setiap ruang kegelapan
ketewasan menebus segala
namun
kemiskinan menghulur halangan
membatas langkah
melayu segugus harapan
hasrat terpenuh jua
memikul amanah dalam pasrah

STPM
diduduki dalam amanah
segala soalan diungkai nyata
kejayaan dicapai sinar menyerlah
melakar dunia penuh ghairah

UKM
dadamu kubelah
bertarung dalam kepayaan
memikul ! menggalas beban amanah
demi nusa bangsa datang menerjah
memikul jaya amanah bangsa
menggerak bangsa memikul maruah
demi hidup negara bangsa

kini aku melangkah lagi
meninggal erti penuh indah
asam garam hidup realiti
meniti hari-hari belum pasti
hidup mati ketentuan ILLAHI
mengharap berkat hidup ini
mengamalkan nilai-nilai murni
menjadi manusia yang hakiki

AD6 07

sajak

  Perjalanan itu terlalu berliku

perjalanan itu terlalu berliku
kesabaran
ketabahan
tempuhi dengan reda
kerana janji tertunai pasti

perjalanan itu terlalu berliku
kekayaan diagungkan
kecantikan dimuliakan
kekuasaan disanjungi
darjat diutamakan
namun
dengan rela diketepikan
menyerah diri penuh pasrah
kerana janji tertunai pasti

perjalanan itu terlalu berliku
dalam kepekatan malam
kedinginan pagi
membangkit diri
berdiri penuh pasrah
menyerah penuh kudus
kerana janji tertunai pasti

perjalanan itu terlalu berliku
segala darah dan nanah
noda dan dosa
salah dan khilaf
dusta dan nesta
dicuci bersih indah mewangi
kerana janji tertunai pasti

perjalanan itu terlalu berliku
meminta dan memohon
merayu dan mengemis
mengharap dan meratap
kepada
empunya diri
kerana diri adalah hamba
meminta pada yang SATU
memohon pada yang ESA
merayu pada yang BESAR
mengemis pada yang AGUNG
meratap pada yang MULIA
dengan rahmatMU
kerana janji tertunai pasti

Perjalanan itu terlalu berliku
lurus menjadi satu lancar segala akidah
kembali kapada yang SATU
merasa diri penuh kerdil
mengharap tanpa balasan
memohon tanpa upah
meminta tanpa bukti
menyerah penuh FANA
kerana janji tertunai pasti

perjalanan itu terlalu berliku
kerana
diri adalah hamba
mengharap hidup kekal abadi
namun
perjalanan kian singkat
langkat kian lambat
nafas kian tersekat
suara kian gagap
tegak kian goyah
kerana janji tertunai pasti

perjalanan itu terlalu berliku
akhir bicara pasti tertunai
kalimah kalam jadi taruhan
LAILLAHAILLALLAH
janji tertunai pasti
amin!!!!!!!!!!!