Thursday, January 27, 2011

Cuit Sikit

Generasiku oh Generasiku

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Pemurah

Bersyukur kita kerana masih lagi dapat menghirup udara yang segar serta dapat menghayati nikmat kemerdekaan yang ke-51 dalam bulan yang penuh keberkatan, bulan yang menjadi tumpuan para ambia dan aulia. Semuga kita semua bersama merebut peluang yang terhampar luas sebelum pergi meninggalkan kita kerana 2009 belum menjanjikan kita adakah masih bernafas

Biarpun  generasi demi generasi silih berganti, kecintaan terhadap tanahair bertuah ini diharap tetap bersemarak disanubari setiap manusia yang bergelar warganegara Malaysia terutama setiap kali tibanya sambutan kemerdekaan yang pasti mengembalikan ingatan penuh nostalgia saat-saat tanah bertuah ini bebas dari cengkaman penjajah.

Hadith bermaksud "cintakan tanahair itu sebahagian daripada iman"

Kemerdekaan negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah kepada seluruh manusia. Kita harus ingat nikmat yang kita hirup adalah darah dan nanah para perjuang yang berjuang puluhan tahun untuk membebaskan bumi kelahiran kita dari gamitan bangsa asing dan ingin hidup bebas dalam negara yang merdeka. Sekarang rahmat Tuhan telah kita kecapi.

Wahai generasi yang merdeka, bebas menghirup udara, menatap segala rupa dan bangsa kerana kita anak merdeka. Namun sedar dan ingatlah amanah yang terpikul bagi setiap manusia untuk mengekalkan kemerdekaan dalam segenap aspek serta menjulang nama MALAYSIA ke persada dunia.

 Menjadikan negara kekal merdeka generasi muda perlu bersifat merdeka dalam maksud berjihad membebaskan  diri dari terjerumus dalam keruntuhan akhlak dan tingkahlaku yang boleh membawa kepada kemurkaan ALLAH. Islam amat menitikberatkan usaha-usaha membebaskan diri dengan menyelamatkan tamadun manusia dari terus hidup dalam gelombang nafsu yang diseliputi sifat sirik kepada ALLAH, kekufuran , kemungkaran dan kemaksiatan.

  "kekalnya bangsa kenara mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Sempena sambutan bulan kemerdekaan bersama bulan Ramadhan yang mulia semoga kita bersama berazam untuk berjihad membebaskan diri dari sifat-sifat yang boleh meruntuhkan manusiawi. sebaliknya kita isikan nikmat kemerdekaan ini dengan meneruskan perjuangan demi kestabilan negara agar terus dapat diwarisi oleh generasi terkemudian.

  "apa yang kita miliki hari ini adalah pinjaman dari generasi terkemudian"

Ad6 2008






Generasiku oh Generasiku


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan penyayang. Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjangkan umur untuk menghayati keindahan dunia ini. Walaubagaimanapun kita perlu menyedari bahawa dunia ini adalah pinjaman seketika sahaja, kita adalah musafir di alam fana ini. Kita manusia perlu ingat perjalanan kita kian hari bertambah dekat dengan saat kematian.

Dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini sering kita dengar dan lihat pelbagai salah laku remaja menjalani hidup dalam pelbagai cara dan gaya yang bertentangan dengan khendak ISLAM atau bertentangan dengan nilai-nilai murni yang telah diterapkan di bangku-bangku sekolah.

Setiap hari terpapar di dada-dada akhbar tentang salah laku pelajar yang menjadi pelaris ..... pelajar mencabul, pelajar merakam aksi... , pelajar merempit, pelajar melahirkan bayi dalam tandas, pelajar melacurkan diri dan pelbagai lagi menjadi tajuk utama dalam akhbar harian.

Pelbagai pihak mara ke depan untuk menjadi jaguh dalam arena ini, kononnya merekalah pejuang yang akan membela nasib bangsa yang terdampar kelemasan akibat mengikut tuntutan nafsu serakah. Namun segala cadangan hanyalah sekadar memenuhi keperluan pada masa dan tika itu sahaja. Penyelesaian jangka panjang belum ada kesudahannya.

Kita terleka yang segala masalah ada penyelesaiannya. Cuba kita bersama merenung akan janji dan peringatan Allah SWT " setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati". Remaja kita hari ini dilanda penyakit yang amat besar iaitu tidak mengamalkan hak-hak sebagai seorang muslim terutamanya solat kerana solat merupakan tiang bagi setiap muslim itu menyebabkan hati mereka kosong dan sebagai perlarian mereka membuat perlakuan mengikut khendak hawa nafsu yang tidak berpandukan Al-Quran dan Al-Hadist.

Firman Allah bermaksud:
 Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Sebagai manusia sememangnya perlu ingat dan sedar bahawa penawar yang paling agung dalam menyelesaikan masalah di kalangan remaja ialah solat lima waktu kerana solat merupakan tiang agama yang menjadi paksi kehidupan manusia. Solat merupakan tempat bagi kita mengadu segala masalah.

Ad6  2007






Generasiku oh generasiku


Dunia hari ini kian kepanasan akibat kepelbagaian kemaksiatan yang telah lama membarah serta menanah dalam kehidupan seharian. Pelbagai bencana alam banjir, panas yang melampau, gempa bumi, tsunami yang diturun oleh ALLAH SWT untuk menjadi pengajaran kepada manusia supaya lebih mengerti akan tugas sebagai hamba. Pelbagai pihak mengambil peranan menjadi jaguh dalam mencari penyelesaian membicara mengapa dan kenapa ? namun hasilnya terus tersasar kerana pencarian hanya berasaskan sains dan teknologi dengan melupakan kuasa yang ESA


Kita sebagai penghuni alam seharusnya bangkit bersama menggalas harapan menggunung semoga generasi yang lahir nanti adalah generasi cemerlang yang bangkit melontar segala kepalsuan membunuh kemaksiatan atas nama kebenaran dengan mengharap keredaan ILLAHI.


Dalam kepayahan membina generasi alaf baru, kita lihat remaja kian leka membina kehidupan dengan pelbagai budaya terjunjung,berbanggakan Black Mental, Punk, Skinhead yang terarah kepada kehidupan yang bebas dari kepatuhan kepada yang MAHA ESA. Walaupun mereka tahu ianya satu pelarian yang sia-sia dan penuh dengan kepalsuan segala. Membina generasi hari ini menuntut pengorbanan semua pihak tanpa alasan kerana generasi kini kian tersasar dari tunjang keimanan. Bersama renungi kembali kata-kata indah moyang kita kekal dalam lipatan sejarah terus gigih berjuang membina bangsa berjaya dengan akhlak yang mulia.


                   Berat sama dipikul
                   ringan sama dijinjing
                   yang tiada sama dicari
                   sama sakit sama senang
                   ke bukit sama mendaki
                   dapat sama laba
                   hilang sama rugi


Indahnya semangat moyang kita membina generasi memacu ke puncak jaya. Dengan berpegangkan konsep 
                   bersatu teguh bercerai roboh
                   seikat seperti sirih
                   serumpun seperti serai
Namun keindahan itu hanya menjadi kenangan yang tersimpan dalam buku-buku sejarah dan muzium atau barang antik yang perlu digilap untuk kenangan bukan pegangan untuk menjana bangsa Kegagalan menghayati semangat itu melahirkan generasi yang hilang nilai-nilai ketimuran, pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi  gagal dalam akhlak atau generasi yamng gagal segala-galanya.


Kalau dilihat pada sstatistik sebahagian besar remaja melayu melanjutkan pelajaran ke Universiti Pusat Serenti dan mencipta pelbagai kelulusan BA,  MA, dan PHD kerana jalan berliku yang menjadi pilihan iaitu pengaruh dadah dalam kehidupan memusnahkan masa depan sendiri semata-mata untuk kegembiraan yang palsu dan seketika cuma.


Cuba bersama merenung di jalanan pada larut-larut malam atau awal pagi remaja kita berbangga dengan pelbagai aksi kemusnahan seperti wheelie, wheekend dan mat rempit yang "mempersetankan kesunyian" malam kerana diri dibawah sedar


Marilah kita bersama menadah tangan memohon restu ILLAHI semoga generasi kita menjadi warga yang berjaya cemerlang gemilang dan terbilang dari aspek jasmani emosi rohani dan intelek kerana di tangan mereka nanti akan terbentuk negara untuk menjadi lebih bermaruah.


Ad6  2006

2 comments:

  1. kemerdekaan sebenar jika kita menghambakan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan

    ReplyDelete
  2. hidup hanya satu perjalanan yang singkat teman

    ReplyDelete